Pohon atau pokok gaharu itu adalah sejenis tumbuhan hutan liar malar hijau iaitu daunya tidak pernah luruh. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kayu yang harum (berasal daripada pokok tengkaras, Aquilaria malaccensis). Sejenis tumbuhan (pokok renek), gembadak, sepucat, Phyllochlamys wallichii.
Ia juga dikenali sebagai pohon gaharu, pohon depu, pohon karas, pohon kikaras dan pohon tengkaras. Manakala dalam bahasa Inggeris pula disebut sebagai agarwood, aloewood dan eaglewood.
Pohon gaharu yang diserang penyakit atau kulat (fungus) terhasil daripada resin yang terdapat didalam bahagian kayu atau pada hempulur kayu. Bahagian yang beresin inilah yang mengandungi aroma wangi dan biasanya dipanggil "kayu gaharu" (dipanggil dalam bahasa Inggeris agarwood atau dalam bahasa Arab Oudh).
Kayu gaharu (merujuk kepada bahagian kayu yang beresin) dan minyak gaharu (merujuk kepada cecair hasil perahan gaharu racik) adalah dua produk utama dari pohon gaharu yang berharga dan menjadi barangan yang diperdagangkan diperingkat antarabangsa.