Sabtu, 27 Jun 2015

Minyak gaharu yang telah siap diproses

 
Pokok Gaharu

Pokok Gaharu

Pokok Gaharu


Latar Belakang Gaharu

Gaharu diperolehi daripada resin tumbuhan Aquilaria Spp. Tumbuhan aquilaria akan mengeluarkan resin sebagai tindak-balas terhadap ‘kesakitan’ secara fizikal, biological , kimia atau gabungan faktor-faktor  tersebut. 

Bagi kayu tumbuhan aquilaria yang mempunyai kandungan resin yang agak rendah, kayu tersebut  telah digunakan sebagai bahan mentah untuk ekstraksi minyak dan bagi kayu yang mempunyai kandungan resin yang tinggi akan membentuk teras (heartwood) gaharu.

Kedua hasilan, samada minyak atau teras telah banyak digunakan di dalam ‘aroma/ wangian dan perubatan. Sementara hampas kayu yang telah diekstrak minyaknya akan digunakan di dalam pembuatan colok (incense) , serta habuk kayunya pula  digunakan sebagai debu dalam majlis keagamaan termasuk di dalam upacara pengurusan jenazah.

Memandangkan resin hanya terhasil pada pokok yang  diserang kesakitan, maka amalan penebangan tanpa pilih (non slective felling) telah menyebabkan tumbuhan aquilaria telah berkurangan. Perkara ini telah menarik perhatian badan-badan dunia, yang kemudiannya telah mengeluarkan keputusan untuk menghadkan kemusnahan tumbuhan aquilaria  bagi memastikan kelestariannya . Memandangkan permintaan dunia kepada hasilan tumbuhan ini semakin meningkat, usaha-usaha untuk menanam tumbuhan ini wajar dijalankan secara terancang.

Tumbuhan aquilaria adalah daripada kelas Magnoliopsida, daripada keluarga Thymelaeceae dan mempunyai beberapa banyak species. Di Malaysia sahaja terdapat tumbuhan ini daripada species  Aquilaria malaccencis (depu kapas), Aquilaria hirta(candan), Aquilaria beccariana  (depu hitam), Aquilaria rostrata yang terdapat di Gunung Tahan. Sementara terdapat penanaman pokok depu yang dibawa dari luar  seperti Aquilaria sub-integra dan Aquilaria crassna daripada Thailand, dan Aquilaria Sinensis daripada China. Nama tempatan bagi pokok depu di sebahagian negeri di Malaysia juga dikenali sebagai pokok karas atau mengkaras.

Perkataan gaharu yang digunakan di dalam bahasa Melayu berasal daripada perkataan Sanskrit ‘aguru’ yang bermaksud kayu berat. Masyarakat cina semenjak purba memanggilnya ‘ ch’en hsiang’ yang bermaksud kayu wangi yang tenggelam di dalam air. Sehingga kini diantara kaedah untuk mengklasikikasikan gred gaharu ialah dengan meletakkannya di dalam air serta memerhati berat kayu nisbah dengan air. I.H Burkhill telah memetik  Bland (1886) yang memberi gred gaharu  daripada Malaka kepada: (1) gaharu candan  (2) gaharu tandok (3) gaharu menjulong-ulong (4) gaharu sikat (5) gaharu sikat lampan (6) gaharu bulu rusa (7) gaharu kemandangan (8) gaharu wangkang.  Tiga jenis gaharu yang awal disebut itu tenggelam di dalam air, yang lainnya terapung di atas air.  Gaharu candan mempunyai permukaan berminyak, hitam dan berkilat, gaharu tanduk hampir menyerupainya. Sementara gaharu menjulong-ulong mempunyai warna hitam tetapi mempunyai rupa selumbar. Sementara gaharu lempong, yang tidak dijual sebagai bahan wangian telah dicatitkan digunakan sebagai bahan rawatan untuk penyakit kuning dan lenguh-lenguh tubuh.
Kegunaan tradisional daripada pokok depu selain daripada minyak dan terasnya, akarnya dan kulitnya telah digunakan sebagai bahan ubat akar-kayu. Kulitnya digunakan sebagai tali, atau sebagai dinding bagi dangau. 

Pokok depu (Aquilaria malaccensis) telah diisytiharkan di dalam  IUCN Red List  pada tahun 2002 sebagai pokok  yang terancam. Tumbuhan ini telah banyak dimusnahkan kerana permintaan dan harga yang baik bagi hasilan gaharu dan juga disebabkan aktiviti pembalakan untuk hasilan kayu dan pertanian. 

Penanaman Pokok Depu

Pokok depu tumbuh di tanah yang ketinggiannya dari paras laut sehingga 800m. Dapat tumbuh di tanah belbagai jenis tanah, semada tanah calcareous, berbatu, berpasir, laterite atau berhampiran paya. Depu merupakan pokok yang lasak dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Biasanya secara tabienya, pokok depu kapas tumbuh di kawasan yang mempunyai lapisan tanah yang tebal, pokok depu hitam pula  tumbuh di kawasan tanah yang tidak mempunyai lapisan yang tebal, biasanya batu hamparnya (bed-rocks) tidak jauh daripada permukaan. Sementara candan tumbuh di kawasan yang berbukit.

Pokok depu tumbuh daripada biji benih daripada buahnya. Biasanya di Kelantan, pokok depu berbuah di sekitar bulan jun sehingga ogos.  Setiap buah mempunyai dua biji benih atau satu. Masa percambahan biji benih depu adalah sekitar dua minggu.

Sekarang ini anak depu juga boleh dihasilkan melalui teknik tisu-kultur, ianya sedang dijalankan di FRIM, Kepong dan terdapat penyelidikan untuk menyediakan anak benih daripada keratan ranting.

Pokok depu boleh ditanam secara ladang yang berbentuk tanaman sejenis (mono-culture) , atau tanaman campur (mix-crops) . Ia juga boleh ditanam sebagai tanaman pagar, atau tanaman selingan di dalam ladang getah dan dusun buah-buahan.

Jarak penanaman yang disyorkan ialah 3mX 3m . Ianya merupakan jarak yang sesuai, tidak terlalu rapat sehingga menyebabkan perebutan ruang cahaya dan nutrient di antara pokok dan tidak terlalu jauh sehingga proses peninggian batang pokok terbantut kerana penumbuhan secara lateral.

Anak pokok yang hendak ditanam hendaklah mempunyai ketinggian minima 0.5m , memandangkan ia mempunyai kelebihan tinggi daripada ditenggelami oleh tumbuhan perosak dan rumput rampai. Ini akan membantu pokok tersebut mendapat cahaya matahari yang cukup serta mengelak terbantut akibat persaingan dengan pokok-pokok liar yang tumbuh di sekelilingnya.pada peringkat awal penanaman (initial advantage).

Anak pokok hasil semaian biji adalah baik berbanding daripada anak pokok yang dicabut selepas anak pokok agak besar, kerana anak pokok yang dicabut akan mengambil masa untuk system akarnya pulih sepenuhnya.
 
Anggaran  Kos Penanaman Depu 

Sekiranya kita membuat anggaran kasar kos bagi kawasan berkeluasan seekar sebagai rujukan, dengan menganggap anak pokok ditanam pada jarak 3m x 4m.

A. Kos Permulaan
1. membersih kawasan RM600-00
2. membuat lubang & tanam RM250-00
3. anak pokok (400 x  RM10) RM4000-00
4. baja  & rock phosphate RM500-00

B. Kos Penjagaan sehingga tahun 5
1. membersih kawasan & sulap RM5000-00
2. baja RM5000-00
3. lain-lain RM2500-00

Kos keseluruhan penanaman RM17’850 bagi 400 pokok
Atau RM44.63/sepokok

C. Kos bagi rawatan untuk penghasilan kayu minyak dan teras sangat bergantung kepada teknik yang akan digunakan , terdapat beberapa option yang dapat dipilih di dalam pasaran pada hari ini.

Kaedah Penanaman Dan Penjagaan Pokok

Lubang seluas 0.75m persegi dibuat  pada jarak yang disyorkan . Tanah bahagian atas (top soil) diletakkan di sebelah. Dan tanah bahagian bawah diletakkan di sebelah. Bahan rampaian organic ke dalam lubang . Campurkan tanah bahagian atas dengan rocks phosphate untuk menggalakkan pertumbuhan akar. Kemudian masukkan tanah bahagian atas (top soil ) di bahagian bawah dan tanah bahagian bawah di bahagian atas lubang. Kayu pemancang dipancang di sisi pokok yang ditanam dan batang anak pokok diikat secara longgar kepada batang pemancang tersebut. Ini untuk mengelak anak pokok daripada rebah.

Pembajaan untuk membantu kadar tumbesar sebaiknya dijalankan setiap 3 bulan , kawasan sekeliling anak pokok hendaklah dipelihara daripada ditumbuhi oleh tumbuhan perosak. Bahagian batang pokok merupakan bahagian pokok yang perlu diberi perhatian, kerana ianya merupakan bahagian yang akan dirawat kelak untuk penghasilan minyak dan teras apabila pokok mencapai pertumbuhan yang mencukupi. Untuk itu pencambahan dahan-dahan rendah hendaklah dikawal untuk memaksimakan panjang batang pokok, tetapi pencatasan dahan yang berlebihan akan mengganggu pembesaran pokok.

Pokok dijangka akan mencapai ukur lilit batang di sekitar 50-60cm apabila mencapai umur lima tahun. Pokok yang mempunyai saiz sebesar ini sudah sesuai untuk dijalankan rawatan penggalakan resin.

Kaedah Rawatan Pokok

Apabila pokok mencapai  saiz yang tertentu, antara ukuran lilit batang 50-60 cm yang biasanya dicapai selepas 5 tahun penanaman, pokok itu telah sedia untuk dirawat.

Terdapat beberapa kaedah rawatan yang telah diamalkan oleh pengusaha minyak dan teras gaharu ke atas pokok depu untuk mengalakkan pembentukan resin. Secara primitifnya pokok tersebut akan disakitkan secara mekanikal, iaitu ditatik dengan kapak pada batangnya. Ada pula yang menggunakan paku enam inci yang dipaku pada batang pokok,  dan ada yang menggunakan besi panas dan dawai berduri. Semua usaha ini ialah untuk menyakitkan pokok secara mekanikal.

Ada juga yang menggunakan racun yang disapukan kepada batang pokok yang telah disiat buang kulitnya. Kaedah ini mungkin mempunyai resiko kesihatan kepada pengguna minyak atau teras gaharu yang terhasil.

Terdapat pula yang menggunakan kejutan elektrik bervoltan tinggi ke atas pokok depu, memandangkan secara tabienya pokok depu yang disambar petir ada yang menghasilkan teras dan kayu minyak.

 Terdapat beberapa kaedah yang terhasil dari penyelidikan dan kajian yang dijalankan oleh beberapa orang penyelidik atau institusi ke atas pokok depu. Didapati beberapa jenis fungi yang didapati di dalam pembentukan resin pada pokok depu. Semenjakl 1952 lagi, saintis di India telah mengasingkan Epicoccum granulatum daripada kayu yang terdapat pembentukan resin. Para pengkaji juga telah menemui fungi Penicillium citrinum, Aspergilluss Spp. Fusarium solani, Chaetum globosum di antara fungi yang kedapatan pada kayu depu yang sakit. Beberapa percubaan untuk menonokulasi  fungi tersebut kepada pokok depu telah dijalankan.

Terdapat juga kaedah yang mengabungkan antara kaedah mekanikal, kimia dan biological dalam membuat rawatan ke atas pokok depu. Dipercayai pada masa hadapan yang dekat (near future), beberapa kaedah baru dan berkesan akan ditemui oleh penyelidik bagi mengstimulasi pokok depu untuk menghasilkan resin.

Proses Hiliran Depu

Pokok depu yang telah dirawat akan menghasilkan kayu untuk estraksi minyak dan kayu teras. 

Kayu yang digunakan untuk menghasil minyak akan dikisar menjadi halus (chips) dan akan direndam untuk masa yang tertentu. Selepas itu akan direbus dan dibuat sulingan untuk mendapatkan minyak. Secara asasnya, minyak yang terhasil digredkan berdasarkan bau yang terhasil. Minyak gaharu yang terbaik mempunyai bau manis (seakan bau madu lebah), diikuti bau masam-manis (seakan bau buah plum) dan lainnya. Minyak yang mempunyai bau kayu terendam atau bau kayu reput  dianggap mempunyai gred yang rendah.

Sementara teras pula digred berdasarkan kepadatan (density) teras tersebut. Secara mudahnya, pedagang gaharu mengkelaskan teras yang baik sebagai yang akan tenggelam seluruhnya di dalam air, dikuti oleh yang berada di bawah permukaan air, kemudian yang tenggelam separuh dan akhirnya yang terapung di atas permukaan air.

Teras gaharu selain daripada dibakar untuk mendapat bauannya, juga telah digunakan sebagai bahan di dalam perubatan tradisional belbagai bangsa dan kini digunakan juga sebagai bahan utama bagi minuman kesihatan.

Kayu Depu yang terdapat resin padanya dimesin dan dikisar 
Kayu tersebut kemudiannya direndam
Bahan-bahan tersebut kemudiannya dipanaskan dan diekstrak
Minyak Gaharu yang diporolehi dari proses ekstrak dipisahkan dari air
Minyak Gaharu dipanaskan untuk mengelokkan lagi kualitinya
Minyaknya selain daripada berperanan sebagai minyak wangi, ia telah dikomersialkan sebagai bahan kecantikan, digunakan dalam penyediaan membuat syampo, lotion, cream dan sabun. Air sulingannya telah digunakan sebagai tonik dan juga sebagai air bagi spa dan mandian wap.